Alhamdulillah 2 hari penuh diberikan peluang oleh Dr Asyraf Wajdi @drasyrafwajdi mengikuti beliau pulang ke Kelantan. Ini merupakan permintaan peribadi saya bagi merasai sendiri pengalaman bagaimana pemimpin politik bekerja. Bersama beliau, hari bermula seawal 5.30 pagi dan berakhir selewat 12.30 malam. Daripada program di masjid, sekolah, padang bola, kenduri, hinggalah kepada kunjungan mesra ke rumah-rumah orang kampung. Saya akui terasa juga kepenatan, namun perasaan itu tidak mampu mengatasi keterujaan saya dapat bersama masyarakat Pasir Puteh daripada pelbagai kelompok.
Jelas untuk saya simpulkan bahawa rupanya bukan mudah menjadi seorang pemimpin. Saya kira dengan jadual padat sedemikian dan dengan perlu melayani pelbagai karenah dan harapan masyarakat, ia hanya dapat dilaksanakan dengan keikhlasan, kemesraan, dan kesabaran yang tinggi. Kagum saya pada Dr Asyraf yang gigih dan cekal berhadapan semua ini, tanpa mengira penat dan sentiasa mesra dengan senyuman melayani orang ramai. Saya belajar dari beliau erti sebenar sikap down to earth, nilai rendah diri dan mengutamakan hubungan manusiawi melebihi jawatan maupun protokol. Saya juga dapat perhatikan masyarakat kampung dari pelbagai peringkat dan lapisan umur di Pasir Puteh begitu menyenangi dan mudah mendekati beliau. Inilah juga dari pandangan saya, erti pertalian sebenar seorang pemimpin dan rakyatnya, saling memberi dan menerima dengan hanya berbekalkan sebuah ikatan ukhuwwah dan silaturrahim.


Saya doakan lebih ramai pemimpin muda seperti Dr Asyraf yang bukan sahaja dihormati kerana ilmu agamanya, tetapi mempunyai hati yang berjiwa rakyat dan menjadi harapan negara masa depan. Terima kasih daun keladi Dr Asyraf atas peluang keemasan yang diberikan pada kali ini.

Adi Putra